360 kematian harian tertinggi

PUTRAJAYA 8 Ogos – Kes kematian harian terus merekodkan angka tertinggi dengan 360 kematian baharu dilaporkan hari ini bersama 18,688 kes jangkitan baharu termasuk 10 kes import.

Dengan perkembangan ini, jumlah kumulatif kematian adalah 10,749 kes manakala jumlah keseluruhan kes pula sebanyak 1,262,540 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula merekodkan 225,393 kes termasuk 1,095 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 571 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh pula sebanyak 17,055 kes dan jumlah kumulatifnya adalah 1,026,398 kes.

Daripada 18,688 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 401 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 18,287 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhan, hanya 4,460 kes (23.9 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

Bagi kes kematian, daripada 360 kes itu, Selangor merekodkan 221 kes diikuti 41 di Kuala Lumpur, 20 di Melaka, 17 di Perak, 15 di Pulau Pinang, 14 di Johor, tujuh di Kedah, masing-masing enam  di Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing lima di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya, dan satu  di Kelantan.

Related posts

Leave a Comment