282 kes baharu di tiga wilayah

MELBOURNE 8 Ogos – Tiga wilayah Australia dengan jumlah penduduk paling ramai – New South Wales (NSW), Victoria dan Queensland – melaporkan jumlah keseluruhan 282 kes baharu Covid-19 hari ini.

NSW melaporkan 262 kes baharu, lebih rendah berbanding 319 kes pada Sabtu, ketika lebih lima juta penduduk di daerah tepi pantai Sydney sudah enam minggu menjalani tempoh sekatan pergerakan yang ketat.

“Saya menggesa orang ramai supaya tolong mematuhi peraturan, nasihat kesihatan dan hanya keluar rumah jika benar-benar perlu,” kata Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian pada satu sidang media.

Terdapat 362 pesakit di hospital NSW, dengan 58 dirawat di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan pesakit di ICU, 54 belum mendapatkan suntikan vaksin.

Victoria pula melaporkan 11 kes tempatan koronavirus sedang ia terus menjalani tempoh sekatan pergerakan selama tujuh hari yang mula dikuatkuasakan pada awal minggu ini.

Queensland mencatat sembilan kes baharu dengan beberapa kawasan di wilayah itu baru saja tamat menjalani sekatan pergerakan pada Ahad, tetapi sekatan pergerakan baharu selama tiga hari dilaksanakan semula di bandar Cairns selepas satu kes yang belum diketahui punca jangkitannya dilaporkan.

Dengan varian Delta yang amat mudah berjangkit membelenggu bahagian pantai timur Australia, wilayah-wilayah di bahagian tersebut terpaksa menguatkuasakan sekatan pergerakan yang lebih ketat dan pantas seperti yang disarankan oleh kerajaan persekutuan minggu lalu sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus penduduknya divaksin.

Related posts

Leave a Comment