Vaksinasi penuh boleh makan semeja

SINGAPURA 7 Ogos – Mulai 10 Ogos, penduduk yang sudah divaksinasi sepenuhnya dibenarkan makan di luar, sehingga lima orang semeja manakala had perhimpunan sosial juga ditambah daripada dua menjadi lima setiap kumpulan.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam satu kenyataan media semalam menyatakan isi rumah juga akan boleh menerima sehingga lima tetamu setiap hari berikutan  kelonggaran dua tahap yang diumumkan bagi langkah-langkah Covid-19.

Bagi mereka yang tidak divaksinasi harus kekal dalam kumpulan tidak melebihi dua orang “bagi mengurangkan kemungkinan penularan dan jangkitan teruk.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksinasi tetapi dari isi rumah yang sama boleh dirangkumkan dalam kumpulan lima orang itu .

Pengumuman itu menyusuli semakan pertengahan tempoh bagi langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Langkah-langkah sekatan juga akan dilonggarkan mengikut dua tahap – bermula 10 Ogos, dan 19 Ogos – jika keadaan koronavirus kekal stabil.

Mereka yang divaksinasi juga diberi kelonggaran bagi kegiatan berisiko lebih tinggi yang lain seperti senaman berat tanpa memakai pelitup, khidmat jagaan peribadi serta acara berskala lebih besar seperti majlis pernikahan dan acara keagamaan beramai-ramai.

Kedai-kedai F&B hanya boleh menyambung operasi makan di kedai sekiranya mereka dapat memastikan bahawa pelanggan sudah menerima vaksinasi penuh.

“Kedai F&B yang tidak dapat memastikan demikian hanya boleh menjalankan khidmat bawa pulang dan penghantaran,” kata MoH.

Kedua-dua mereka yang sudah divaksinasi dan tidak divaksinasi boleh makan di pusat penjaja dan kedai kopi, namun dalam jumlah kumpulan hingga dua orang.

Kelonggaran khas juga diberi bagi mereka yang sudah divaksinasi dan tidak divaksinasi untuk makan di pusat penjaja dan kedai kopi kerana ruang-ruang ini terbuka dan mempunyai pengaliran udara semula jadi.

Bagaimanapun Kementerian mengingatkan makan di luar kekal sebagai satu kegiatan berisiko tinggi kerana pelanggan tidak memakai pelitup dan berada dalam jarak rapat.

Pada masa yang sama hiburan seperti persembahan langsung, muzik rakaman dan tayangan TV akan terus dilarang.

Related posts

Leave a Comment