Siapa sebenarnya ada angka

SEMALAM apabila Ahli Parlimen Besut Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Maran Ismail Abd. Muttalib menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), timbul persoalan siapa sebenarnya mempunyai nombor atau angka.

Kenyataan rasmi mereka berdua bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum itu pun ada dalam kalangan wakil rakyat BN atau UMNO yang secara terang-terangan tetap menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bezanya, kenyataan beberapa orang seperti Nazri Aziz, Shahidan Kassim dan Annuar Musa lebih awal manakala Idris dan Ismail tampil selepas mendapat arahan Presiden UMNO atas nama Majlis Tertinggi (MT) supaya ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap PN dan juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini bukan kali pertama isu ini timbul kemudian senyap. Isu ini timbul semula apabila PN dikatakan derhaka kepada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong disebabkan proklamasi darurat.

Hanya seorang menteri menarik diri serta merta dan beberapa orang lagi yang bukan ahli Parlimen memegang jawatan lantikan politik dalam syarikat tertentu. Sekurang-kurangnya sembilan ahli Parlimen ikut arahan MT.

Dalam kalangan orang politik, mereka boleh bercakap soal angka, nombor, setia, derhaka, dan pelbagai lagi. Tetapi pada masa yang sama memberi persepsi bahawa orang politik tidak ada kerja lain selain mengintai peluang dan kuasa.

Apatah lagi dalam institusi politik ada dalam kalangan mereka yang bersikap marahkan nyamuk kelambu dibakar dan di pihak satu lagi bagaikan orang mengantuk disurungkan bantal atau pucuk dicita ulam mendatang. Lebih parah ada yang bersedia menuangkan minyak tanah dalam api.

Berbalik kepada UMNO, apakah tindakan seterusnya? Apa tindakan yang bakal diambil terhadap majoriti ahli Parlimen yang patuh titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong tetapi ingkar arahan Presiden?

UMNO bersedia ‘mengorbankan’ sekurang-kurangnya 27 wakil rakyatnya?
Bagaimana pula dengan empat lagi wakil rakyat yang mewakili BN – MCA, MIC dan PBRS? Sebelum ini BN menyokong PN sehingga PRU.

Apa kesudahannya jika UMNO memecat mereka ini hanya kerana tidak sanggup menanti sebulan? UMNO sanggup menunggu berbulan-bulan untuk mengadakan pemilihan parti tetapi tidak sanggup menunggu sebulan untuk ‘meruntuhkan’ kerajaan.

Andai negara tidak dihadapkan dengan pandemik Covid-19, siapa pun tidak peduli apa yang akan berlaku. Rebutlah kuasa, jatuhkanlah kerajaan. Tetapi negara sekarang sedang berperang dengan musuh bernama Covid-19. Musuh itu yang perlu dikorbankan dahulu bukannya ‘musuh politik’.

Sebelum ini ketika timbul isu menarik sokongan, saya telah menulis mengenai tidak wajar ‘panglima perang Covid-19’ dari UMNO diarah berundur dari medan perang. Tindakan itu lebih mementingkan kuasa umpama marahkan ‘seekor nyamuk’, kelambu sendiri hendak dibakar.

Ini bukan kali pertama UMNO yang bersama membentuk kerajaan PN
menimbulkan kekalutan politik. Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) berhubung menarik sokongan terhadap PN pun ada yang keliru.

Walaupun UMNO tidak turun di jalanan untuk meruntuhkan ‘rumah sendiri’ tetapi rakyat kini fokus kepada UMNO yang menimbulkan kekalutan. Kerajaan PN tidak digugat dari luar tetapi dari dalam.

Tidak pasti apa yang ada di pemikiran pimpinan UMNO. Apa formula UMNO untuk kekalkan kuasa ( jika berminat). Tetapi bagi orang kebanyakan sudah pastilah tertanya-tanya apa lagi yang UMNO mahu?

UMNO tidak ada majoriti kerusi atau nombor untuk membentuk kerajaan apatah lagi selepas ‘perpecahan’ yang sedang berlaku. Tersilap langkah UMNO dianggap pencetus pelbagai masalah. Buruk padahnya ketika ini.

Melihat sokongan yang ada sekarang, di atas kertas PN tidak cukup sokongan atau majoriti kecuali berlaku perubahan pendirian wakil rakyat parti lain. Bergantung juga kepada parti di Sabah dan Sarawak.

Persoalan sekarang siapa sebenarnya mempunyai angka atau nombor? Adakah PN tanpa UMNO atau Pakatan Harapan (PH) yang tetap utuh bersama PKR, DAP dan Amanah? Adakah UMNO sudah bersedia menyerahkan semula kuasa kepada PH?

Tunggulah apa yang akan berlaku September ini. Yang pasti tiada kesudahannya selagi UMNO, Pas dan Bersatu gagal bersama. Yang resah gelisah sekarang adalah rakyat yang semakin tertekan dengan Covid-19.

Covid-19 tidak peduli sama ada PN, BN atau PH membuktikan angka atau nombor yang mereka miliki. Covid-19 sentiasa mempunyai angka positif!

Related posts

Leave a Comment