80% meninggal tidak tahu dijangkiti

PUTRAJAYA 6 April  – Dianggarkan 80 peratus pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak pernah mengetahui mereka dijangkiti virus itu, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong

Beliau yang juga Komander Greater Klang Valley Special Task Force berkata, angka itu adalah berdasarkan jumlah 800 hingga 1,000 kematian yang dicatatkan dalam tempoh seminggu akibat Covid-19.

Katanya, daripada 1,000 kematian seminggu, 80 peratus tidak pernah menjalani diagnos atau saringan Covid-19. Ada juga kumpulan yang mempunyai akses untuk saringan tetapi mereka enggan hadir.

“Kadar kematian yang tinggi dicatatkan melibatkan bukan warganegara Malaysia. 20 peratus daripada mereka yang dijangkiti lewat mendapatkan rawatan, kebanyakan mereka di rumah,” katanya dalam Sidang Media Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Tambahnya daripada jumlah mingguan itu pula sebanyak 10 peratus melibatkan kes Brought In Death (BID).

“Ketika ini kes kematian mencatatkan peningkatan, kes BID juga meningkat disebabkan beberapa faktor. 150 sehingga 200 kematian setiap hari, dalam tempoh seminggu sebanyak 800 hingga 1,000 kematian dicatatkan.

“Kami anggarkan 80 sehingga 100 kematian BID dalam tempoh yang sama. Kes BID meningkat sejak minggu lalu dan dijangka akan terus meningkat,” katanya lagi.

Bagi memastikan setiap pesakit mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya juga diwujudkan selain 27 CAC dibuka di Selangor.

Ia bagi memastikan setiap pesakit mendapatkan pemantauan kesihatan setiap hari.

“Menerusi CAC secara maya, setiap pesakit yang disahkan positif Covid-19 akan dipantau tahap kesihatan mereka. Kepada yang tidak mempunyai simptom juga tidak perlu ke CAC.

Katanya, sebanyak 60 peratus daripada pesakit adalah asymptomatic (tidak bergejala) dan 30 peratus pula mempunyai simptom teruk.

“Bagi yang menjalani kuarantin di rumah, kami akan pantau kesihatan mereka secara maya. Kita akan kesan sama ada terdapat perubahan tahap kesihatan dan sebagainya, kita juga akan telefon mereka untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Bagaimanapun tegas Dr Chong, orang ramai yang menjalani kuarantin kendiri di rumah dinasihatkan agar sentiasa mengemas kini Home Assessment Tool (HAT) di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pemantauan dibuat petugas kesihatan.

Related posts

Leave a Comment