Kes harian lepasi 20,000

PUTRAJAYA 5 Ogos – Kes harian sekali lagi mencatat rekod baharu hari ini apabila jumlah kes positif Covid-19 mencecah 20,596 berbanding 19,819 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kini mencecah 1,203,706 kes.

Beliau berkata, hanya 34 daripada keseluruhan kes membabitkan kes import manakala 20,562 kes adalah penularan tempatan dengan 17,021 warganegara (82.8 peratus) dan 3,541 lagi bukan warganegara (17.2 peratus).

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 217,061 kes aktif setakat hari ini dengan 1,078 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 549 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 20,596 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 398 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 20,198 kes atau 98.1 peratus lagi kategori 1 dan 2.

Secara keseluruhan, hanya 4,660 kes (22.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19 iaitu sembilan dalam kategori 5, kategori 4 (10), kategori 3 (61), kategori 2 (3,295) dan kategori 1 (1,285).

Sebanyak 164 kes kematian direkodkan hari ini membabitkan 45 kes di Selangor, 27 kes di Johor, 24 kes di Kuala Lumpur, 18 kes di Kedah, 10 kes di Perak dan masing-masing sembilan kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Melaka; tujuh kes di Negeri Sembilan; masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Terengganu.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan 33 kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster jangkitan Covid-19 negara sebanyak 3,829 kluster dengan 2,652 kluster sudah ditamatkan.

Sebanyak 13,893 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah pesakit pulih daripada jangkitan itu seramai 976,626 atau 81.1 peratus.

Related posts

Leave a Comment