Johor akan dapat 1.5 juta dos

PAGOH 9 Ogos – Sebanyak 1.5 juta dos vaksin Covid-19 akan dihantar ke Johor, berbanding 1.3 juta dos yang diumumkan sebelum ini sekali gus memberi peluang kepada 40 peratus penduduk negeri itu menerima vaksin sebelum 31 Ogos ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan itu dibuat berikutan kekecewaan dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam, serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, baru-baru ini.

“Saya sudah meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, dan Menteri Kesihatan,  Dr Adham Baba, supaya melihat situasi di Johor serta buat seperti mana di negeri lain, kerana saya melihat (tahap vaksinasi) Johor masih di bawah.

“Khairy dan Dr Adham juga sudah diarahkan menghadap Sultan Johor serta Tunku Mahkota Johor, untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu ini,” katanya

Muhyiddin berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil FELDA Lenga Batu 27, di sini, hari ini.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di PPV itu turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada wakil masyarakat FELDA Moakil yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 14 hingga 27 Julai lalu, di lokasi sama.

Semalam, Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda terhadap kadar vaksinasi yang masih rendah di negeri ini.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Sultan Johor, malam tadi, baginda bertitah, hingga 2 Ogos lalu, perangkaan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 menunjukkan sebanyak 31.3 peratus (1,184,151 orang) menerima vaksin dos pertama, manakala tiada perangkaan memaparkan kadar suntikan dos kedua.

Muhyiddin  mengaku kadar vaksinasi di Johor masih belum berada pada tahap memuaskan berbanding beberapa negeri lain, disebabkan faktor bekalan vaksin yang sudah ditempah tidak sampai mengikut jadual.

Related posts

Leave a Comment