Kes, kematian harian tertinggi

PUTRAJAYA 4 Ogos – Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian dan kematian tertinggi apabila 19,819 lagi kes baharu dengan 257 kematian dilaporkan hari ini.

Pertambahan angka berkenaan juga menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara ini sebanyak 1,183,110 dan 9,855 kematian

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara keseluruhan bagi kes baharu hari ini, hanya 3,592 kes iaitu 18.1 peratus daripada jumlah kes yang mempunyai sejarah vaksinasi.

“Ia adalah 842 kes dalam kategori satu, kategori dua (2,671), kategori tiga (61), kategori empat (10) dan kategori lima (lapan),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 19,444 kes yang dikesan hari ini bersamaan 98.1 peratus berada dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan.

Sebanyak 375 kes atau 1.9 peratus pula berada dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen serta kritikal.

Kes kematian hari ini membabitkan 91 kes di Selangor, Kuala Lumpur (74), Johor (25), Melaka (24), masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Perak serta lapan kes di Kedah.

Sabah turut mencatatkan enam kes kematian, Terengganu (empat), masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Kelantan serta satu di Pahang, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini 9,855 kes.

Katanya sehingga pukul 12 tengah hari ini sebanyak 12,704 kes sembuh dilaporkan.

Dengan pertambahan kes baharu itu, ia menjadikan jumlah kes aktif kini mencecah 210,522 kes.

Daripada jumlah itu, 1,069 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 553 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment