MENTERI Kesihatan, Dr. Adham Baba diperintahkan untuk menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau “Home Surveillance Order” (HSO) sehingga 18 Disember ini.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, perintah itu dikeluarkan kerana penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM Putrajaya mendapati beliau adalah kontak rapat kepada seorang petugas media swasta yang hadir ke pejabatnya pada Sabtu lepas.
Petugas media itu didapati positif Covid-19 dan bergejala.
“Sehingga tamat perintah HSO, saya akan bekerja dari rumah termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan melalui sidang maya.
“Sesiapa pun tidak terkecuali dari mematuhi sebarang perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apatah lagi yang melibatkan langkah pencegahan atau rawatan Covid-19. Semoga kita semua dapat memainkan peranan dalam menangani dan melawan Covid-19,” katanya.