Perayaan, ziarah cetus kluster baharu

PUTRAJAYA 3 Ogos – Aktiviti sambutan hari perayaan, ziarah dan majlis pengebumian antara pencetus 30 kluster baharu yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada kluster baharu yang dilaporkan itu, masing-masing 14 kluster dikesan berpunca dari tempat kerja dan dalam kalangan komuniti manakala satu kluster dari kumpulan berisiko.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, daripada kluster berpunca aktiviti ziarah yang dikesan oleh kementeriannya hari ini, terdapat satu kluster yang berpunca daripada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

Kluster Kampung Pandan Tok La ini membabitkan aktiviti ziarah di kampung berkenaan untuk menghadiri majlis perkahwinan. Kes indeks bagi kluster ini adalah kanak-kanak lelaki yang dilaporkan positif Covid-19 hari ini selepas mengalami gejala pada 23 Julai lalu.

Sehingga kini 10 individu sudah disaring iaitu lapan dilaporkan positif termasuk tujuh kes baharu hari ini.

Satu lagi kluster yang berpunca daripada aktiviti ziarah ialah Kluster Kampung Jelor yang kini sudah menjangkiti 19 individu.

Kluster ini membabitkan aktiviti ziarah-menziarahi di Kampung Jelor, Pasir Puteh sempena sambutan perayaan. Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang wanita berusia 39 tahun.

Kes mula mengalami gejala pada 24 Julai lalu sebelum dilaporkan positif Covid-19 tiga hari kemudian iaitu 27 Julai. Selain itu, bagi Kluster Dah Kampung Nonang ia dikesan di Kota Setar, Kedah yang sudah menjangkiti 45 individu.

Kluster ini turut dikesan membabitkan individu yang menghadiri majlis perayaan di kampung berkenaan. Kes indeks adalah seorang lelaki berusia 47 tahun yang dilaporkan positif pada 28 Julai hasil saringan kontak rapat.

Dua kluster yang membabitkan majlis pengebumian dikenali sebagai Kluster Kampung Sungai Isap di Kuantan, Pahang serta Kluster Dah Kampung Tiang di Pendang, Kedah yang kini sudah menjangkiti 55 individu.

Related posts

Leave a Comment