UMNO tidak pertahan PM, PN

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

“Kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini, kata Ahmad Zahid, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong.

Malah (ia) mempersendakan Baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media, secara maya di sini, hari ini.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional,  Najib Tun Razak (Pekan), Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan (Pontian) serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said (Pengerang).

 

KENYATAAN MEDIA

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi secara maya pada 3 Ogos 2021 bersamaan 24
Zulhijjah 1442H telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-
Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan
Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md
Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3
Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah
bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah
titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda,
yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan
Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September
2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-
Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk
menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri
Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil
tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau
yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan
jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi
menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin
Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada
KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau
sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
3 Ogos 2021

Related posts

Leave a Comment