Indonesia lanjut PPKM Level 4

JAKARTA 2 Ogos – Indonesia sekali lagi melanjutkan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Level 4 di beberapa wilayah/kota republik itu sehingga 9 Ogos ini.

Presiden Joko Widodo mengumumkan keputusan itu hari ini ketika kes jangkitan Covid-19 mula menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu.

PPKM bermula 3 hingga 25 Julai dan disambung pada 26 Julai sehingga hari ini, 2 Ogos sebelum disambung satu minggu lagi.

Jokowi berkata, PPKM telah memberi kesan yang baik sama ada terhadap bilangan kes jangkitan harian, pesakit sembuh dan kes aktif.

Beliau bagaimanapun meminta rakyat terus berwaspada berikutan perkembangan kes yang sangat pantas.

“Dalam situasi apapun, kedisiplinan dalam melaksanakan protokol kesihatan adalah kunci bagi kesihatan dan mata pencarian masyarakat,” katanya.

Jokowi berkata usaha menangani pandemik bergantung kepada kepantasan vaksinasi, penerapan 3M – memakai pelitup, mencuci tangan, menjaga jarak dan ujian saringan.

Sementara itu Indonesia hari ini merekodkan 22,404 kes, angka yang lebih rendah berbanding  lebih 50,000 kes harian yang direkodkan pada pertengahan bulan lalu.

Jumlah kumulatif kes adalah 3.462.800 dengan kematian pula sebanyak 1,568 dengan jumlah kumulatifmencapai 97.291 manakala kes sembuh 32,807 menjadikan jumlah keseluruhan 2,842,345 orang.

Lima wilayah yang merekodkan kes sembuh harian tertinggi adalah Jawa Barat sebanyak 6,212 kes diikuti Jawa Timur 5,829, Banten 3,262, Jawa Tengah 2,236 dan Jakarta 2,161.

Jawa Tengah pula merekodkan 3,218 kes positif diikuti Jawa Timur 2,489, Jawa Barat 2,341, Yogyakarta 1,566 dan Jakarta 1,410 .

Kes kematian tertinggi pula direkodkan di Jawa Timur dengan 352 kes diikuti, Jawa Tengah 333, Jakarta 154, Jawa Barat 127 dan Banten 90 kes.

Related posts

Leave a Comment