6.9 juta lengkap dua dos

PUTRAJAYA 2 Ogos – Hampir 30 peratus atau 6,952,814 penduduk negara ini sudah  lengkap menerima dua dos vaksinasi, setakat semalam.

Jumlah tersebut adalah daripada 21,200,473 dos keseluruhan pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara.

Pemberian dos pertama setakat semalam adalah sebanyak 14,247,659 dos, yang mewakili 60.9 peratus penduduk dewasa.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan di Facebook hari ini menyebut, data berkenaan mengambil kira sepenuhnya pelaporan manual, termasuk daripada program jangkau luar komuniti yang dijalankan di seluruh negara.

JKVAV dalam perangkaan itu turut menunjukkan tiga negeri mencatatkan kadar pemberian dos vaksin terendah, didahului oleh Sabah yang mencatatkan 31.7 peratus penduduk dewasa menerima dos pertama, manakala cuma 14.6 peratus melengkapkan dos kedua.

Ia diikuti Johor yang merekodkan 42.3 peratus dos pertama dan 16.9 peratus dos kedua, sementara Kedah mencatatkan 38.7 peratus bagi dos pertama dan 19.9 peratus dos kedua.

Labuan kekal di tangga teratas negeri yang mencatatkan pemberian dos tertinggi iaitu 85.1 peratus populasi penduduk dewasa melengkapkan kedua-dua dos, diikuti Sarawak dengan 65.7 peratus, Perlis (42.7 peratus) dan Lembah Klang (37.5 peratus).

Related posts

Leave a Comment