Cadang tangguh Parlimen dua minggu

PUTRAJAYA 1 Ogos – Hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran, mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata justeru bagi mencegah jangkitan Covid-19 daripada merebak di Parlimen, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu.

Beliau berkata, penangguhan itu meliputi pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang membabitkan individu berada di bangunan berkenaan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata penilaian risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai lalu dinasihatkan memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Jika mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Faktor persekitaran Parlimen termasuk keadaan dewan yang tertutup, tempoh berada dalam Parlimen dan sekitarnya, penjarakan fizikal kurang dari satu meter, perkumpulan keci kerap berlaku di dalam dan luar Dewan.

Sebelum ini, KKM telah memberi nasihat dalam satu mesyuarat khas dihadiri Speaker Dewan Rakyat termasuk wakil-wakil parti.

Bagaimanapun mesyuarat diteruskan dengan dua syarat utama antaranya Parlimen perlu ditangguhkan, dikurangkan masa perbahasan dan dikurangkan kehadiran Ahli Parlimen seramai 80 orang.

Related posts

Leave a Comment