Syarat kemasukan dari Australia, Jiangsu

SINGAPURA 31 Julai – Langkah sempadan lebih ketat dikenakan bagi pelawat yang memasuki Singapura mulai pukul 11.59 malam Isnin ini jika mereka mempunyai sejarah perjalanan ke Australia dan wilayah Jiangsu, China.

Menurut Kementerian Kesihatan, langkah itu diambil setelah terdapat lonjakan kes Covid-19 di sana.

Dalam kenyataannya, MoH menjelaskan, semua pelawat dengan sejarah perjalanan ke Australia dalam tempoh 21 hari lalu akan perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan khas.

Di bawah langkah-langkah sedia ada, rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang memasuki Singapura dengan sejarah perjalanan ke Australia dalam tempoh 21 hari lalu perlu menjalani ujian PCR setibanya di sini.

Mereka juga perlu menjalani SHN selama tujuh hari di tempat kediaman mereka serta satu lagi ujian PCR sebelum akhir tempoh SHN mereka.

Di bawah langkah baru, pelawat juga akan dibenarkan untuk memilih agar tidak menjalani SHN di kemudahan khas sebelum ketibaan mereka dan sebaliknya menjalani notis itu di tempat kediaman mereka.

Namun, ini hanya dibenarkan jika mereka tidak membuat perjalanan ke tempat-tempat lain selain Australia dalam tempoh 21 hari terakhir berturut-turut sejurus sebelum mereka memasuki Singapura.

Bagi rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang dengan sejarah perjalanan ke wilayah Jiangsu dalam tempoh 21 hari lalu sebelum berangkat ke Singapura perlu mengambil ujian PCR Covid-19 sewaktu ketibaan mereka.

Mereka juga perlu menjalani SHN selama tujuh hari di tempat kediaman mereka dan mengambil ujian Covid-19 sebelum tempoh SHN mereka berakhir.

Pelawat jangka pendek yang memegang ATP dengan sejarah perjalanan ke wilayah Jiangsu dalam tempoh 21 hari terakhir sebelum berlepas untuk ke Singapura tidak akan dibenarkan memasuki negara ini.

Semua pelawat lain dengan sejarah perjalanan ke tanah besar China, tidak termasuk wilayah Jiangsu, dalam tempoh 21 hari terakahir sebelum membuat perjalanan ke sini akan terus dikenakan ujian Covid-19 sebaik tiba di lapangan terbang, sebagai ganti kepada SHN.

Related posts

Leave a Comment