Mesyuarat Dewan Rakyat ditangguh

KUALA LUMPUR 31 Julai – Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi satu notis kepada semua Ahli Dewan Rakyat pada hari ini.

Nizam menjelaskan, pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, saya telah diarahkan oleh Yang Berhormat Datuk Mohd Rashid Hasnon (Timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat) untuk mengemukakan pemberitahu ini kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin, 2 Ogos 2021,” katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Julai lalu dan sepatutnya berakhir pada 2 Ogos ini.

Pada Khamis, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi jaminan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan disambung semula pada pukul 10 pagi, Isnin ini.

Pada 5 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama 5 hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan 3 hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Related posts

Leave a Comment