Darurat Sarawak jaga kebajikan rakyat

KUCHING 31 Julai – Proklamasi Darurat Sarawak seperti diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk memastikan kehidupan rakyat terus terjaga dan terbela, kata Ketua Menteri, Abang Johari Abang Openg.

Katanya, pendirian kerajaan negeri itu adalah menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat serta menegakkan amalan demokrasi berparlimen di negeri ini.

Beliau berkata, dengan pengisytiharan itu, Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dapat ditangguhkan sehingga data saintifik daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan memberi jaminan Covid-19 tidak lagi memudaratkan keselamatan rakyat.

Katanya, seluruh jentera pentadbiran dan rakyat negeri ini mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan baginda memastikan PRN-12 hanya boleh diadakan apabila pandemik dapat dikawal.

“Bagi memastikan amalan demokrasi berparlimen dipelihara, kita perlu memperoleh semula mandat daripada rakyat Sarawak sebaik saja keadaan pandemik mengizinkan.

“Justeru, mengikut ordinan, Darurat ini akan tamat pada 2 Februari 2022 atau boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menimbangkan pandangan daripada Kerajaan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Johari berkata, berpandukan peruntukan undang-undang itu, mandat daripada rakyat dijamin akan diperoleh dengan segera, sebaik saja pandemik dapat dikawal dan keadaan mengizinkan.

Related posts

Leave a Comment