Pilihan raya kecil bukan sekadar kos RM

SEKALI lagi Barisan Nasional (BN) dan Pas bertembung dalam pilihan raya kecil (PRK). Kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang. Kedua-duanya kawasan BN. Sebelum ini BN-Pas menguji pengaruh dienam PRK, empat daripadanya kawasan Pas. Dua kawasan Parlimen Kuala Terengganu (BN) dan Bukit Gantang (Pas), manakala DUN ialah Manek Urai (Pas), Galas (Pas) di Kelantan; Permatang Pasir (Pas) di Pulau Pinang dan Tenang (BN) di Johor. Rekod pertemuan berakhir dengan BN kekal di Tenang, menang di Galas. Pas mempertahankan Bukit Gantang, Manek Urai, Permatang Pasir dan memenangi Kuala Terengganu.

Seperti pernah diselak sebelum ini, Merlimau dan Kerdau merupakan PRK ke-15 dan 16 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Sudah tentu ia melibatkan kos yang tinggi. Dianggarkan lebih RM10 juta dibelanjakan bagi mengadakan PRK ini.

Tetapi PRK bukan sekadar RM tetapi banyak perkara sampingan yang muncul. Ramai yang lupa kos lain yang perlu ‘dibayar’ setiap kali PRK. Pemimpin dan parti politik juga mengeluarkan perbelanjaan tinggi. Begitu juga kos yang ditanggung pasukan keselamatan dan agensi lain. Tetapi selain mengira RM yang mengalir keluar, pengundi-pengundi yang terpaksa mengundi sekali lagi selepas 2008 dapat menilai semula undi yang mereka beri sebelum ini sama ada berbaloi atau sebaliknya. Sebarang perubahan atau kedudukan undi yang diperoleh parti sedikit sebanyak menunjukkan sejauh mana sokongan yang masih wujud. PRK juga memberi peluang kepada parti politik mempercepatkan janji yang ‘ditabur’ kepada rakyat semasa PRU lalu walaupun sekadar menaikkan papan tanda projek.

Bagaimanapun apa yang mendukacitakan selain begitu banyak RM keluar dari poket kerajaan serta parti politik, tidak kurang hebat juga ialah entah ‘berapa juta guni’ maki hamun, fitnah, tohmahan, penipuan, kes pekerja ‘curi tulang’, ponteng kerja dan macam-macam lagi yang muncul sepanjang kempen politik PRK ini.

‘Berguni-guni’ cerita peribadi calon dan pemimpin tertentu dikeluarkan semata-mata mahu menjatuhkan imej orang berkenaan. Tidak kira masa atau hormat walaupun pada bulan Ramadan. Cerita dan gosip yang memalukan dan menjatuhkan maruah orang terus berlegar semata-mata untuk mendapatkan undi.

Begitu jugalah dengan pelbagai ‘fatwa’ atau kenyataan yang mengelirukan orang ramai.

Inilah kos yang lebih mahal yang perlu dibayar oleh orang politik yang sanggup melakukan apa sahaja politik menghalalkan cara untuk menang atau mempertahankan jumlah undi yang diperoleh sebelum ini.
Mujurlah PRK hanya berlaku disebabkan kekosongan apabila melibatkan kematian hakiki. Apa akan terjadi jika PRK boleh diadakan sekiranya ada kawasan yang wakil rakyatnya hidup tetapi ‘mati’, tidak pernah kelihatan bertemu rakyat atau turun padang mendengar rintihan pengundi. Disebabkan tidak ada undang-undang yang membolehkan PRK diadakan disebabkan wakil rakyat yang ‘mati’ atau tidak menunjukkan prestasi yang baik, maka pengundi tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka terpaksa menanggung masalah dan mengadu kepada
orang lain apabila wakil rakyat tidak nampak batang hidung tetapi akan muncul menjelang PRU. Lebih parah jika ada wakil rakyat yang dapat merasakan kemenangannya pada 2008 disebabkan nasib dan kali ini peluang untuk bertanding semula ada tetapi mungkin ditolak atau peluang bertanding sudah tertutup rapat. Fenomena ini amat membimbangkan kerana selepas genap tiga tahun, adakah mereka akan terus menghilangkan diri kerana sudah tidak ada peluang untuk bertanding? Ada wakil rakyat yang selepas menang PRU terus membuka pejabat pusat khidmat. Tetapi lama kelamaan hilang semangat. Pintu pejabat wakil rakyat diselak sepanjang masa menyebabkan pengundi tercari-cari di mana wakil mereka. Lebih malang ada juga pihak meminta wakil rakyat yang mahu berkhidmat menutup pejabat kerana berbeza fahaman politik.

Mungkin ada wakil rakyat yang terasa selamat sepanjang masa kerana kawasan mereka tidak banyak masalah disebabkan faktor geografinya. Bagi kawasan seumpama ini, ada wakil rakyat atau tidak, pembangunan tetap berjalan. Dalam erti kata lain, wakil rakyat di kawasan berkenaan hanya perlu menjaga kelompok atau puaknya. Jika ada, wakil rakyat seperti ini mungkin bebas menjalankan ‘bisnes’ masing-masing kerana kehadiran mereka di khalayak pengundi bukanlah sesuatu kemestian. Cukuplah bermodalkan ‘air liur’, parti mereka akan terus disokong.

Di sebalik kos mengadakan pilihan raya, kehadiran PRK juga bukan sekadar memberi kebaikan kepada pengundi sebaliknya yang bukan pengundi turut ‘tumpang semangkuk’. Bilik hotel habis ditempah, pekan yang sepi tiba-tiba sibuk, pendapatan peniaga gerai meningkat, sewa rumah pula melonjak. Begitulah baik buruknya PRK selain isu kos.

MENANTI SAAT-SAAT AKHIR

Di Merlimau dan Kerdau, BN dan Pas akan terus berusaha sehingga ke saat-saat akhir untuk mendekati seberapa banyak pengundi. Pengundi-pengundi pula harus mengambil kesempatan cuti hari Ahad 6 Mac ini untuk keluar mengundi. Jangan tunggu saat akhir. Bimbang pula tunggu punya tunggu, akhirnya sampai di pusat mengundi, pintu sudah diselak dan terlepas peluang.

Menyentuh saat akhir, hari ini hari terakhir untuk orang ramai menjelaskan saman trafik. Esok, bermula pula episod tanggungjawab golongan pekerja dan majikan. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menetapkan 1 Mac bermulanya proses penghantaran borang nyata cukai pendapatan tahun taksiran 2010 melalui e-Filing bagi borang BE, B, M, P dan E.

LHDN menetapkan tarikh akhir penghantaran mengikut kategori pada 31 Mac, 30 April dan 30 Jun. Melalui e-Filing, orang ramai tidak perlu beratur panjang untuk menghantar borang seperti ketika mahu menjelaskan saman trafik. Semuanya sudah berada di hujung jari. Tetapi orang kita, lebih suka menunggu.

Orang kita suka sangat bertindak pada saat-saat akhir seperti ketika menjelang hari raya atau bermulanya penggal persekolahan. Justeru kepada pembayar cukai, janganlah kita menanti saat-saat akhir. Semoga kekalutan pada saat akhir tidak berulang.

UMA280211008C001

Related posts

Leave a Comment