Aktiviti keluarga cetus 3 kluster

KOTA KINABALU 28 Julai – Tiga kluster baharu Covid-19 di Sabah yang dilaporkan di daerah Keningau hari ini dikaitkan dengan aktiviti perkumpulan keluarga,

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata kluster terbabit iaitu Kluster Bayangan, Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah.

Kes dikesan melalui saringan bergejala dan saringan tempat kerja.

Katanya, Kluster Bayangan membabitkan penularan Covid-19 dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan, manakala Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah masing-masing di Mukim Patikang dan Kali serta Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan, Keningau.

Kluster Bayangan membabitkan penularan Covid-19 dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan yang disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah. Kes indeks ialah lelaki berumur 38 tahun dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Keningau pada 25 Julai.

Dalam kenyataan media malam ini, beliau memaklumkan saringan kontak rapat bagi tempoh 25 hingga 27 Julai menunjukkan pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kes indeks.

Setakat hari ini, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 21 kes positif termasuk tujuh kes baharu.

Bagi Kluster Bariawa Laut, ia mula dikesan apabila kes indeks iaitu wanita berumur 36 tahun yang juga disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 25 Julai.

Sementara itu, Kluster Menawo Baitah dikategorikan sebagai kluster komuniti dan tempat kerja yang menular di Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan di daerah Keningau serta di daerah Tambunan.

Sabah hari ini  merekodkan kes baharu Covid-19 yang tinggi dengan 913 kes hari ini, menjadikannya yang tertinggi sejak Januari tahun ini, jauh melepasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 818 kes yang dicatat pada Ahad lalu.

Beliau berkata jumlah kes baharu Covid-19 pada hari ini menunjukkan peningkatan 172 kes berbanding 741 kes yang dilaporkan semalam.

Related posts

Leave a Comment