Langkah kurang lonjakan kes

PUTRAJAYA 24 Julai – Individu yang positif Covid-19 dan tidak bergejala tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terlebih dahulu dalam usaha mengurangkan lonjakan kes di Lembah Klang dan beban kepada sistem penjagaan kesihatan.

Sebaliknya, Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) mengarahkan mereka  untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam),  Dr Chong Chee Keong berkata, kumpulan berkenaan juga perlu melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah.

Di samping itu, kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian pantas Covid-19, sama ada di klinik berhampiran ataupun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

“Langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Chong berkata, ujian Covid-19 akan lebih mengutamakan individu yang bergejala (simptomatik).

Walau bagaimanapun, katanya semua kes simptomatik Covid-19 masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian ataupun fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

Katanya, perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan serta bekalan lain tidak terganggu.

Sementara itu, satu lagi, langkah segera lain yang turut diambil termasuk Hospital Selayang akan ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 bagi kawasan Lembah Klang.

“Pesakit bukan Covid-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta di wilayah tersebut untuk meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit COVID19 yang berada pada Kategori 3, 4 dan 5.

“Operasi Selayang telah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit Covid-19,” katanya.

Pasukan GKVSTF ditubuhkan bagi memberi tumpuan penuh kepada perkara seperti Penjagaan Klinikal; CAC dan Pemantauan Kendiri di Rumah; Epidemiologi; Logistik Perubatan dan Umum; Sistem Sokongan Sosial bagi Petugas Hadapan; Sumber Manusia dan Kewangan; serta Komunikasi Strategik.

Pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi CAC Call Centre di talian 03-77239299 atau Hotline CPRS di talian 03-77239300.

Pesakit disaran mendapatkan rawatan segera di hospital tanpa menunggu panggilan telefon dari Virtual CAC, sekiranya gejala bertambah teruk.

Related posts

Leave a Comment