15,902 kes harian tertinggi

PUTRAJAYA 24 Julai – Kes harian tertinggi Covid-19 kini adalah 15,902 selepas berlaku lonjakan yang mengatasi angka tertinggi sebelum ini 15,573 yang direkodkan semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 996,393.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 26 kes import dilaporkan melibatkan tujuh warganegara dan 19 bukan warganegara.

Daripada 15,876 kes tempatan, sebanyak 12,842 adalah kes warganegara (80.9%) dan 3,034 bukan warganegara (19.1%).

Beliau juga memaklumkan daripada 15,902 kes harian yang dilaporkan hari ini di mana semasa mereka baharu didiagnosa, sebanyak 260 kes (1.6 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Sebanyak 129 kes (0.8 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 127 kes (0.8 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 6,901 kes (43.4 peratus) kategori 2 (bergejala ringan) dan 8,485 kes (53.4 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

Keseluruhannya, semasa mereka baharu didiagnosa 3.2 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5.

Dalam pada itu, menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 9,471 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 834,858 kes.

Sebanyak 184 kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 7,902 kes dengan peratusan berjumlah 0.79 peratus.

Selangor merekodkan 87 kematian diikuti 17 kes di Kedah, 16 di Pahang, 15 di Negeri Sembilan, 13 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10 di Johor, lapan kes di Sabah, tujuh di Melaka, enam di Pulau Pinang, tiga di Terengganu dan dua di Sarawak.

Sementara itu, 950 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 468 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment