Rekod 500,000 dos suntikan

PUTRAJAYA 23 Julai – Kadar pemberian vaksin di negara ini mencatatkan angka tertinggi dengan merekodkan 507,050 dos.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang menerima dos pertama setakat ini adalah seramai 10,920,860 dan 5,104,054 menerima dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.

“Alhamdulillah semalam, kita berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa seramai 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula mendapat dos yang penuh.

Muhyiddin berkata, pencapaian itu selari dengan sasaran yang ditetapkan namun perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksin lengkap berjaya dicapai.

Jelasnya, menerusi vaksinasi, ia dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan jangkitan teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), jumlah 507,050 dos yang dicapai semalam membabitkan 335,977 dos pertama dan 171,073 dos kedua.

Selangor merekodkan jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 95,278 bagi dos pertama dan 35,859 untuk dos kedua diikuti Kuala Lumpur (56,524 dos pertama; 31,859 dos kedua).

Johor pula mencatatkan sebanyak 31,707 pemberian dos pertama dan 4,662 dos kedua disusuli Sabah (27,174 dos pertama; 3,417 dos kedua).

Related posts

Leave a Comment