Kesan kesihatan mental berpanjangan

ATHENS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kesan pandemik Covid-19 terhadap kesihatan mental akan ‘berlarutan buat jangka panjang’.

Menurut WHO, kegelisahan mengenai penularan virus, kesan psikologi daripada perintah berkurung dan pengasingan diri menyumbang kepada krisis kesihatan mental.

Begitu juga dengan tekanan yang berkaitan dengan pengangguran, masalah kewangan serta pengasingan sosial.

Amaran itu dikeluarkan ketika para pakar dan pemimpin menggesa tindakan diambil ke atas kes keresahan dan tekanan berkaitan dengan Covid-19.

“Semua orang terkesan dengan apa cara sekali pun,” menurut WHO dalam satu kenyataan semasa permulaan mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan melibatkan puluhan negara, yang berlangsung selama dua hari di Athens.

Pengarah Serantau WHO bagi Eropah, Hans Kluge, berkata kesihatan mental perlu dianggap sebagai “hak asasi manusia” sambil menekankan betapa virus itu sudah menjejas kehidupan.

“Pandemik ini sudah menggegarkan dunia,” beliau memberitahu persidangan itu.

“Lebih empat juta nyawa hilang di seluruh dunia, sumber pendapatan hancur, keluarga dan masyarakat dipisahkan, perniagaan jatuh muflis dan orang ramai kehilangan peluang,” ujarnya.

WHO menggesa supaya khidmat kesihatan mental secara umumnya diperkukuhkan dan akses kepada rawatan melalui penggunaan teknologi dipertingkat.

Ia juga menggesa agar khidmat sokongan psikologi yang lebih baik di sekolah, universiti, tempat kerja dan bagi petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19.

Semasa persidangan itu, para menteri yang hadir mendengar pengalaman seorang wanita Greece berusia 38 tahun bernama Katerina yang memberitahu mereka bagaimana beliau menerima rawatan bagi gangguan psikiatri sejak tahun 2002 dan berjaya mengatasi kesihatannya dengan baik sehingga pandemik itu melanda.

Sejak itu, beliau tidak lagi dapat menghadiri sesi kumpulan sokongan secara bersua muka dan tidak dapat melihat ayahnya sekali gus memaksa dirinya untuk menambah rawatannya.

“Tekanan pengasingan sosial menyebabkan rasa gelisah bertambah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment