KUALA LUMPUR 9 Dis. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Senator Ti Lian Ker bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan sejak zaman kerajaan BN dan selepas ini tidak pernah menyentuh atau menekan hak kaum lain.
Beliau berkata, kongres ekonomi bertujuan untuk memberi penambahbaikan kepada ekonomi Bumiputera termasuk Sabah,Sarawak dan Orang Asli yang mana ini adalah majoriti kaum di negara ini
Dalam satu kenyataan melalui Facebooknya, beliau berkata, penambahbaikan ekonomi Bumiputera di dalam negara ini tidak pernah mengambil hak kaum lain malah memberikan kebaikan kepada situasi negara ini secara keseluruhan
Malahan kedudukan ekonomi bukan Bumiputera masih lagi mengukuh di negara ini sejak dari dulu lagi
“Jadi amaran saya pada YB senator, jangan sesekali bermain dengan isu perkauman demi untuk kepentingan politik kamu!!,” katanya
Baru-baru ini, bekas Naib Presiden MCA itu ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara, berharap Kerajaan Perpaduan menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat, termasuk Melayu.
Tanpa mahu menidakkan hak orang Melayu, beliau menegaskan sudah tiba masanya kongres Bumiputera tidak ditunggang demi meraih keuntungan politik atau sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata kongres pertama dianjurkan pada tahun 1965 ketika beliau berusia tiga tahun, kongres kedua pada tahun 1968 dan setelah 50 tahun masih diadakan lagi kongres ekonomi bumi bersiri-siri.
“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan diadakan tahun depan. Harapan saya Kongres Ekonomi Bumiputera ini adalah kongres ekonomi akhir dan di masa depan adakan Kongres Ekonomi Negara, “ katanya.
Katanya , kerajaan perlu menganjurkan kongres yang ‘berupaya membawa kemajuan kekal kepada keseluruhan rakyat dan Melayu, bukannya keuntungan sementara kepada beberapa lapisan atasan masyarakat Melayu dengan memperkudakan agenda Melayu’.
Dalam pada itu Dr Akmal menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak akan sama sekali berganjak pendirian mempertahankan kepentingan agama,bangsa dan negara.
“Dan jangan lupa,kamu dapat jawatan senator itu juga dari perdana menteri yang datangnya dari orang Melayu. Cermin diri sendiri dan simpan sedikit bodoh tu!!,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bakal menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu, iaitu antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 untuk dilaksanakan.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, Melayu dan Bumiputera adalah kelompok etnik majoriti negara dan jika isu ketaksamaan ekonomi berterusan serta tidak ditangani secara menyeluruh, ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana golongan itu mewakili 69.7 peratus populasi Malaysia.
Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ketika membentangkan usul khas bagi kelulusan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025 pada September, berkata satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024.
Kongres itu bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, bertujuan memperkasa golongan itu dengan anjakan daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana.
