Pertambahan varian membimbangkan

PUTRAJAYA 23 Julai  – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 119 lagi kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pertambahan VOC itu menjadikan jumlah keseluruhan varian berkenaan di negara ini adalah 409 kes.

Beliau berkata, varian itu dikesan berikutan kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan serta Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 106 kes adalah varian jenis B.1.617.2 atau Delta, 10 kes adalah varian jenis B.1.351 atau Beta serta tiga kes lagi varian Alpha (B.1.1.7).

Secara keseluruhan, sehingga kini bagi varian Beta terdapat 206 kes, Delta (189 kes) dan Alpha (14 kes), manakala bagi varian mempunyai kepentingan (VOI) terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI sebanyak 429 kes. Daripada jumlah itu, 409 kes adalah VOC dengan 20 kes pula VOI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara tu, memperincikan mengenai 106 kes yang dijangkiti VOC Delta itu, Dr Noor Hisham berkata, 76 kes dikesan di Sarawak, Selangor (10), Pahang (lapan), Johor (empat), Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing satu kes di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Selain itu, bagi 10 kes VOC Beta, tiga kes dikesan di Perak, masing-masing dua kes di Johor dan Pulau Pinang serta masing-masing satu kes dikesan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang manakala kesemua tiga kes VOC Beta yang dikesan ialah di Selangor.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata peningkatan kes mendadak di negara ini disebabkan penyebaran varian baharu Delta yang kini merebak hampir di setiap negeri.

Beliau berkata, varian berkenaan cepat merebak dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara lima hingga lapan berbanding virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China dengan nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.

Varian Delta itu pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu. Sehingga kini ia merebak ke lebih 100 negara termasuk Malaysia dan mencetuskan gelombang jangkitan Covid-19 yang semakin berbahaya.

Related posts

Leave a Comment