Lonjakan semula, kedua tertinggi

PUTRAJAYA 22 Julai – Kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak semula dengan  merekodkan 13,034 kes, kedua tertinggi sejak pandemik bermula tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 964,918 kes.

Kes harian tertinggi yang direkodkan sebelum ini adalah 13,215 kes pada 15 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan juga memaklumkan kes aktif yang ketika ini adalah 142,051 kes dengan 938 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Daripada 13,034 kes harian hari ini, sebanyak 13 kes (0.1 peratus) adalah daripada  kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 72 kes (0.5 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).

Sebanyak 124 kes (1.0 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 5,646 kes (43.3 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), dan 7,179 kes (55.1 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka semasa baharu didiagnosa Covid-19.

Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, hanya 1.6 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 98.4 peratus kes berada pada kategori 1 dan 2, iaitu pada mula didiagnosa.

Sementara itu  jumlah kematian yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu adalah 134 kes dengan kumulatif kematian  7,574 kes.

Kes sembuh baharu pula adalah 8,436 dengan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh adalah 815,293.

Selangor mendahului dengan 39 kematian, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 18 kes di Negeri Sembilan, 15 kes di Johor, masing-masing tujuh kes di Perak dan Melaka, lima di Pahang, empat di Kedah, masing-masing dua  di Pulau Pinang, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta satu di Sabah.

Related posts

Leave a Comment