58 kes positif libatkan Olimpik Tokyo

SEBANYAK 58 kes positif Covid-19 melibatkan atlet, kakitangan dan pegawai kejohanan sukan Olimpik Tokyo 2020 telah direkodkan sepanjang bulan ini.

Menurut laporan media antarabangsa, Jawatankuasa Olimpik Tokyo 2020 mengesan kes positif itu sejak atlet dan pegawai mula berkumpul untuk temasya sukan tersebut.

Terbaharu, dua pemain besbol untuk kejohanan Sukan Olimpik dari Mexico disahkan positif Covid-19 ketika menjalani ujian saringan sebelum berlepas ke Tokyo.

Kedua-dua atlet berkenaan, Hector Velazquez dan Sammy Solis yang positif telah diasingkan sementara menanti keputusan ujian saringan rakan-rakan pasukannya.

“Kedua-dua mereka telah diarahkan diasingkan serta-merta sebaik tiba di bilik hotel penginapan pasukan mereka, begitu juga dengan pemain-pemain lain, jurulatih serta pegawai sehingga keputusan ujian saringan mereka diperoleh,” kata penganjur lagi.

Kesemua protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Mexico (COM) akan dilaksanakan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan semua anggota pasukan besbol nasional yang akan bertanding dalam sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perlawanan pertama Mexico dijangka diadakan pada 30 Julai ini menentang Republik Dominika di Yokohama.

Related posts

Leave a Comment