Solat Aidiladha di pekarangan istana

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo atau Jokowi menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Istana Presiden di Bogor dengan jemaah yang terhad dan menjaga penjarakkan.

Berkongsi gambar di Facebooknya , Jokowi berkata, anggota pasukan keselamatan yang mengiringinya bertindak sebagai muazin, imam dan khatib ketika solat sunat Aidiladha pada pagi Selasa.

“Saya melaksanakan salat Iduladha pagi ini di halaman Istana Kepresidenan Bogor dengan jamaah terbatas. Yang bertindak sebagai muazin, imam, dan khatib adalah anggota Paspampres,” katanya.

Jokowi turut memetik kata-kata khatib ketika membaca khutbah Aidiladha yang mengingatkan tentang usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan melepaskan sifat ego.

“Semua cobaan dapat kita lalui dengan baik manakala dihadapi dengan sabar. Sabar berkorban menjalankan ajaran Islam dan melepaskan egoisme untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.” katanya.

Pandemik Covid-19 banyak menghalang aktiviti masyarakat seharian termasuk aktiviti keagamaan sama ada pada hari-hari biasa atau musim-musim perayaan.

Disebabkan peningkatan kes Covid-19, kerajaan Indonesia mengenakan larangan solat sunat Aidiladha berjemaah di Pulau Jawa dan Bali yang berada dalam zon merah.

Terdahulu beliau berkata, pandemik Covid-19 adalah ujian yang sungguh berat dan nyata tetapi kita boleh  melaluinya dengan pengorbanan, kebersamaan, dan ikhtiar yang sungguh-sungguh.

“Semoga Allah SWT senantiasa melindungi bangsa Indonesia dari segala marabahaya, dan melimpahi kita dengan rahmat dan karuniaNya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment