Solat Aidiladha di rumah

JAKARTA 19 Julai – Pemerintah Indonesia meminta umat Islam di negara itu tidak menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid atau kawasan terbuka berikutan perintah kawalan yang dikenakan untuk membendung penularan Covid-19.

Naib Presiden, Ma’ruf Amin berkata, umat Islam yang tinggal di kawasan yang dikenakan perintah itu – pembatasan kegiatan masyarakat (PPKM) darurat di Pulau Jawa dan Bali serta di daerah zon merah digesa melaksanakan solat berkenaan di rumah.

Dalam masa sama, Ma’ruf juga menggesa ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan haiwan sementara pengedaran daging dilakukan dengan menerapkan protokol kesihatan secara ketat.

Sementara itu, Menteri Agama, Yaqut Choli Qoumas pula menegaskan, keputusan tidak membenarkan solat di masjid dibuat bukan untuk menghalang umat Islam beribadah sebaliknya melindungi masyarakat daripada bahaya penularan Covid-19.

Beliau juga menggesa umat Islam melaksanakan takbir raya di rumah masing-masing.

Pemerintah  Indonesia menetapkan provinsi lain (selain Pulau Jawa dan Bali serta kabupaten atau kota yang berstatus zon merah) dibenarkan menjalankan solat sunat dengan protokol kesihatan Covid-19 yang ketat.

Solat berjemaah di provinsi lain dibenarkan dengan syarat kapasiti maksimum di rumah ibadah hanya 30 peratus dengan amalan protokol kesihatan ketat

Related posts

Leave a Comment