Patuh SOP juga pengorbanan

PUTRAJAYA 19 Julai – Kesabaran umat Islam di negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) disifatkan sebagai satu pengorbanan dan jihad yang besar di sisi Allah SWT dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa semua.

Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin, berkata pengorbanan yang tinggi juga ditunjukkan petugas barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan, keselamatan, penjawat awam, sukarelawan dan badan bukan kerajaan bagi melawan wabak Covid-19 yang melanda negara semenjak lebih setahun yang lalu.

Muhyiddin berkata, beliau amat menghargai pengorbanan ini dan mendoakan supaya semangat yang dilakukan petugas barisan hadapan dan rakyat secara umumnya akan dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.

Katanya, dalam tempoh fasa pemulihan ini, kerajaan menguatkuasakan larangan tertentu mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menuntut sambutan Aidiladha perlu dilakukan di rumah bersama keluarga secara sederhana.

“Namun berita baiknya ialah kita membenarkan pelaksanaan solat Sunat Aidiladha dan solat Jumaat dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang namun Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri akan menetapkan SOP mengikut kesesuaian atas perkenan Sultan-Sultan Negeri,” katanya dalam ucapan khas Aidiladha, di sini.

Muhyiddin yakin Malaysia mampu berjaya dalam peperangan melawan Covid-19 dengan pertolongan dan rahmat Allah SWT yang sentiasa bersama hambaNya yang sentiasa berusaha gigih, bersabar dan bertawakal.

Beliau berkata, apatah lagi dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi, negara  akan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok berdasarkan kelancaran pemberian vaksin Covid-19 yang sedang berjalan di seluruh negara ketika ini.

Perdana Menteri beliau turut mengharapkan umat Islam di negara ini diizinkan untuk kembali mengerjakan ibadat Haji pada tahun hadapan susulan keputusan muktamad pihak berkuasa Arab Saudi yang tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia ke Tanah Suci tahun ini ekoran Covid-19.

“Peluang untuk menunaikan ibadat Haji adalah saat yang sangat ditunggu-tunggu umat Islam. Kita semua rindukan kesempatan untuk mengunjungi Baitullah al-Haram dan menziarahi maqam Rasulullah SAW ketika berada di tanah suci.

“Namun pada tahun ini kita terpaksa menangguhkan semua urusan berkaitan operasi musim Haji kerana kita akur dengan keputusan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Saya faham ramai dalam kalangan kita yang berasa amat sedih dengan berita ini, namun saya percaya umat Islam di negara ini menerima ketentuan ini dengan penuh redha, sabar dan berlapang dada,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap, umat Islam mematuhi panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa ketika melakukan ibadah korban.

Related posts

Leave a Comment