98.2 % tiada gejala, kematian tertinggi

PUTRAJAYA 17 Julai – Sebanyak 98.2 peratus daripada 12,528 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2 iaitu masing-masing bagi kategori tiada gejala dan gejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kategori 1 membabitkan 6,840 kes atau 54.6 peratus, manakala kategori 2 merekodkan 5,468 kes atau 43.6 peratus.

Sebanyak 112 kes atau 0.9 peratus pula adalah kategori 3 yang bergejala dengan radang paru-paru dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen merangkumi 44 kes atau 0.4 peratus.

Bagi kategori 5 pula adalah kes dalam keadaan kritikal dan memerlukan ventilator di mana laporan hari ini menunjukkan terdapat 64 kes atau 0.5 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah

905,851 manakala kematian pula meningkat kepada 6,866 termasuk 138 pesakit yang dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Daripada 12,528 kes hari ini, 12,509 adalah kes tempatan yang melibatkan 9,848 warganegara dan 2,661 bukan warganegara manakala 19 kes import pula melibatkan 13 warganegara dan enam bukan warganegara.

Jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 779,171 termasuk 6,629 pesakit yang dilaporkan sembuh hari ini sementara kes aktif pula 119,814.

Sebanyak 138 kes kematian pula dilaporkan, angka tertinggi harian direkodkan melibatkan 128 warganegara dan 10 bukan warganegara menjadikan jumlah kumulatif 6,866 kematian.

Sementara itu 908 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 425 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment