Kematian tertinggi di Thailand

BANGKOK 15 Julai – Thailand merekodkan kes kematian tertinggi apabila 98 orang dilaporkan meninggal dunia dan 9,186 kes baharu direkodkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 3,032 orang dan kumulatif kes 372,215.

Kes kematian tertinggi sebelum ini adalah 91 yang dilaporkan pada 10 Julai lalu.

Sebanyak 9,107 kes melibatkan orang awam termasuk 22 kes import dan 79 lagi banduan di penjara.

Dalam tempoh 24 jam juga, sebanyak 5,543 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Sejak 1 April, iaitu bermulanya gelombang ketiga Covid-19, terdapat 343,352 pesakit dan 238,701 orang dilaporkan sembuh.

Manakala sejak pandemik bermula awal tahun lalu, terdapat 372,215 kes dan 266,127 dilaporkan sembuh.

Jumlah kematian pula adalah 2,938 orang ketika gelombang ketiga dan 3,032 sejak pandemik bermula.

Kematian melibatkan 96 waga Thai , seorang Myanmar dan Jepun di mana kematian tertinggi dilaporkan di Bangkok iaitu 51 orang.

Ini diikuti 14 kematian di Samut Prakan, di Nakhon Pathom (7), lima di Pathum Thani (5), Nakhon Ratchasima (3), dua masing-masing di Ubon Ratchathani, Udon Thani, Narathiwat dan Tak, dan setiap satu di Samut Songkhram, Chachoengsao, Chaiyaphum, Nakhon Phanom, Songkhla, Pattani, Nakhon Si Thammrat, Nakhon Sawan, Kamphaeng Phet dan Uttaradit.

Bangkok juga merekodkan kes harian tertinggi iaitu 2,224 diikuti Samut Prakan 846,

Samut Sakhon 640, Chon Buri 523, Nonthaburi 355, Nakhon Pathom 291, Pattani 269, Pathum Thani 233, Chachoengsao 188 dan Songkhla 181.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari Bahrain (1), Amerika Syarikat (3), Perancis (1), United Kingdom (1), Korea Selatan (1), Albania (2), Afrika Selatan (1), Myanmar (9 termasuk 7 warga Thai ) dan Kemboja (3).

Sehingga Rabu, sebanyak 103,056 orang mendapatkan rawatan di mana 3,276 dalam keadaan serius dan 839 memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment