Thailand buka tiga lagi pulau

BANGKOK 15 Julai – Tiga lagi pulau peranginan di Thailand membuka pintunya kepada pelancong yang lengkap divaksinasi hari ini ketika negara itu menyaksikan lonjakan dalam kes Covid-19.

Selepas Phuket dibuka 1 Julai lalu, pulau peranginan Samui, Tao dan Phangan dibuka untuk pelawat sebagai sebahagian daripada usaha menghidupkan semula industri pelancongan yang lumpuh.

Thailand melancarkan skim “sandbox” pada 1 Julai yang membenarkan pelancong sudah divaksinasi untuk datang ke Phuket, tidak perlu dikuarantin dalam hotel tetapi mereka tidak boleh meninggalkan Phuket selama dua minggu.

Di bawah peluasan yang diumumkan pada Khamis, pelancong harus menginap di sebuah hotel yang diluluskan di Samui selama seminggu dan boleh meninggalkan tempat penginapan mereka pada hari keempat.

Mereka juga perlu menunjukkan hasil ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan bertolak ke pulau Tao atau Phangan selepas minggu pertama mereka di Samui.

Thailand ketika ini sedang bergelut untuk menangani jangkitan varian Delta, yang menurut pihak berkuasa sekarang sudah membentuk hampir 80 peratus daripada jumlah kes positif.

Bangkok dan sembilan wilayah lain yang menyaksikan penularan pesat koronavirus,berada di bawah sekatan diperketat termasuk perintah berkurung sebelah malam serta larangan ke atas perhimpunan lebih lima orang.

Sejak pembukaan semula, Phuket menerima 5,000 pelancong asing dan daripada jumlah itu, 10 diuji positif Covid-19.

Setakat ini 75 peratus penduduk di ketiga-tiga pulau itu sudahpun divaksinasi.

Related posts

Leave a Comment