Anggota Kabinet undang pertikaian

PUTRAJAYA 15 Julai – Kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ terhakis dengan sikap segelintir anggota Kabinet yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) .

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang mengakui hakikat kesan itu, berkata pemimpin sebaliknya harus menerajui negara dengan mencerminkan contoh baik kepada rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegagalan barisan Jemaah Menteri mengundang pertikaian dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyaksikan ramai yang mempersoalkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Saya rasa dalam hal itu, kita memang ada buat kesilapan,” katanya dalam temu bual bersama The Sydney Morning Herald dan The Age yang diterbitkan, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata kerajaan berdepan kesukaran untuk memastikan rakyat mematuhi SOP kerana mereka mengalami kelesuan pandemik.

“Walaupun tiada negara yang mempunyai rekod tindakan paling sempurna dalam membendung krisis kesihatan ini, kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik.

“Saya tidak menyalahkan rakyat kerana untuk mematuhi semua jenis kekangan dan larangan terhadap tindak tanduk kita sememangnya sesuatu (yang sukar).

“Akhirnya, pasti ada masa di mana orang ramai akan terleka,” katanya.

Menyentuh percaturan program imunisasi, Khairy berkata, Malaysia berupaya memacu kadar inokulasi di seluruh negara hasil rundingan semula dengan pembekal pelalian.

Related posts

Leave a Comment