Daftar dan solat dalam masjid

BARU-BARU ini tular satu video di media sosial menunjukkan orang ramai mengerjakan solat Jumaat di luar pekarangan Masjid Sultan, Singapura.

Satu keterangan mengiringi video itu bagi menjelaskan situasi yang berlaku, sekali gus menafikan hakikat sebenar di dalam masjid.

Keterangan itu berbunyi : Solat Jumaat tadi di Masjid Sultan S’pore .. Alhamdulillah penuh di dalam  masjid hingga ada yg solat di luar masjid : kerajaan S’pore guna pendekatan hidup perlu diteruskan spt biasa, Covid perlu dhindarkan tanpa stress  .. mendidik rakyat nya dg normal baru:  terima kehadiran covid sama spt demam selesema,  kawal dan jaga diri keluarga srta jiran tetangga dg patuh pda SOP, jaga penjarakan juga kebersihan  ✍️0k🚘*”.

Hakikatnya masjid itu tidak penuh seperti didakwa kerana bilangan jemaah dihadkan mengikut peraturan yang ditetapkan. 

Walaupun sebaran itu mungkin ada ‘niat baik’ terapi gambaran yang diberi tidak tepat serta mengelirukan dan memboleh menimbulkan persepsi salah. Kenyataan yang mengiringi video itu tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah. Hati-hati sebelum sebar.

Berikutan penularan itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya semalam mengingatkan masyarakat Muslim setempat agar mengerjakan solat berjemaah hanya di dalam masjid dengan pendaftaran slot yang sah.

MUIS juga memberi amaran bahawa masjid-masjid mungkin berdepan risiko ditutup sekiranya prosedur langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) dilanggar.

Kenyataan MUIS itu menyusuli satu video yang tersebar di media sosial baru-baru ini, menunjukkan perhimpunan orang ramai mengerjakan solat secara berjemaah di luar pekarangan Masjid Sultan.

“Kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa solat berjemaah seharusnya dilakukan di dalam masjid-masjid, dengan pendaftaran (slot) yang sah. Masjid-masjid mempunyai prosedur pengurusan selamat yang jelas dan mantap untuk memastikan solat berjemaah dilakukan dengan selamat,” menurut MUIS dalam kenyataannya.

Secara alternatif, tambah MUIS, individu juga boleh menunaikan solat berjemaah di rumah bersama para anggota keluarga.

Menurut MUIS, persekitaran seperti yang dilihat dalam video tersebut, akan menyulitkan tindakan pengesanan kontak atau pemulihan bagi membendung jangkitan selanjutnya.

MUIS  juga tidak mahu berdepan risiko masjid-masjid ditutup kerana mencabuli prosedur SMM, contohnya para jemaah mengerjakan solat di luar zon selamat yang ditetapkan.

“Kami memahami keiinginan masyarakat untuk kembali ke masjid bagi solat berjemaah seperti biasa. Bagaimanapun, kami memohon kesabaran serta kerjasama anda sedang negara beralih dari Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dan kami menawarkan secara berperingkat-peringkat lebih banyak ruang selamat di dalam masjid-masjid kami,” kata MUIS.

Related posts

Leave a Comment