PM guna bahasa Melayu di UNGA ke-77

NEW YORK: Buat julung kali, selepas 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957, ucapan Perdana Menteri Malaysia di PBB disampaikan dalam bahasa Melayu.

Pada hari keempat Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77,  Ismail Sabri Yaakob yang mengenakan busana baju Melayu hitam lengkap bersongkok berucap  selama kira-kira 22 minit, bermula pukul 5 petang waktu tempatan.

Secara kebetulan pula,  ketika giliran beliau berucap, sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB,  Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, yang juga memakai baju Melayu.

Dengan ucapan itu juga, Ismail Sabri sekali lagi menunjukkan kesungguhan untuk mengotakan janjinya bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

Sebelum ini di luar ASEAN,  Ismail Sabri menyampaikan ucaptama sepenuhnya dalam bahasa Melayu di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo pada Mei lalu.

Ini adalah penampilan kedua Perdana Menteri dalam UNGA selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lalu secara maya berikutan pandemik Covid-19.

Tema sesi UNGA kali ini, Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait, adalah tepat pada masanya bagi membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.

Badan dunia itu menetapkan enam bahasa rasmi di PBB, iaitu bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Perancis, Rusia dan Sepanyol.

Ia digunakan dalam pelbagai perjumpaan PBB dan dalam penulisan dokumen rasmi,  termasuk ketika Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan.

Setiap perwakilan negara boleh berucap dalam mana-mana satu daripada bahasa ini, atau sebarang bahasa lain dengan menyediakan terjemahan secara langsung kepada satu daripada enam bahasa rasmi.

Ucapan Perdana Menteri dialih bahasa serentak kepada bahasa Inggeris oleh pentejermah. Selain Malaysia, beberapa negara lain menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

Sebelum ini Ismail Sabri menyatakan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia menjadi dasar kerajaan dan ia antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada. Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

Katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara.

Ismail Sabri berkata, banyak negara sudah mencapai status maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, dan dalam hubungan ini Perdana Menteri meminta seluruh Keluarga Malaysia, terutama penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Arahan juga sudah dikeluarkan supaya semua urusan membabitkan luar negara, termasuk surat menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu.

Sejarah keanggotaan Malaysia dalam PBB bermula tidak lama selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menulis kepada Setiausaha Agung PBB, Dag Hammarskjold untuk menyatakan minat negara menyertai PBB.

Pada 17 September tahun yang sama ketika sesi ke-12 UNGA yang dipengerusikan oleh Sir Leslie Munroe, secara sebulat suara Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota ke-82 melalui resolusi 1134(XII).

PBB ditubuhkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia Kedua dengan ibupejabatnya di San Francisco yang kemudian dipindahkan ke New York setahun selepas itu.

Terkini, PBB dianggotai 193 negara dan dua sebagai anggota pemerhati.

 

Related posts

Leave a Comment