PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 dan 30 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 106 kes dan kes positif 6,383.
Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kes import yang direkodkan di mana 21 kes dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang melibatkan 24 bukan warganegara.
Pada masa yang sama, terdapat 83 kes yang telah pulih dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,567 kes yang bersamaan dengan 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes pulih dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,710 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, seramai 24 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lapan kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian .
Mengenai kes kematian, melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau dimasukkan ke sebuah hospital swasta mulai 15 Mac 2020 dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Mac 2020 setelah disahkan positif Covid-19. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Mei 2020 pukul 2.10 pagi.