Jangan terburu buka sempadan

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada Eropah supaya tidak terburu-buru membuka semula sempadan dan ekonomi walaupun jumlah kes baharu Covid-19 sudah merosot.

Malah, WHO turut mengingatkan bahawa usaha melawan Covid-19 masih belum selesai selagi vaksin tidak dapat mengatasi pandemik tersebut.

Program vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran sedang dijalankan di kebanyakan negara dan kerajaan di dunia menggesa para penduduk supaya terus bertahan dengan penutupan sempadan sedang kempen-kempen vaksinasi dijalankan.

Namun, meskipun jumlah kes baharu dan kematian akibat Covid-19 semakin merosot di beberapa negara, seorang pegawai WHO menegaskan ini tidak bermakna sudah tiba masanya untuk melonggarkan sekatan.

“Kemerosotan pada jumlah kes tidak menggambarkan jumlah penularan dan jangkitan dalam masyarakat yang meningkat melibatkan varian baru yang menimbulkan keprihatinan,” kata pengarah WHO Eropah Hans Kluge.

“Buat masa ini, sebilangan besar negara Eropah masih mudah terjejas,” katanya sambil merujuk kepada “jurang kecil antara harapan yang dibawa vaksin dengan perasaan selamat berdasarkan hakikat sebenar”.

Lebih sejuta kes jangkitan dilaporkan setiap minggu oleh 53 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Eropah, termasuk beberapa negara di Asia Tengah.

Jumlah kes yang dilaporkan semakin merosot sejak empat minggu kebelakangan ini dan jumlah kematian juga merosot sepanjang dua minggu lalu.

Related posts

Leave a Comment