Thailand catat 8,656 kes baharu

BANGKOK 12 Julai – Thailand mencatatkan 8,656 kes baharu Covid-19 dan 80 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 345,027 dan  2,791 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, daripada kes baharu, 8,632 adalah jangkitan tempatan, 2,515 daripadanya dikesan melalui pengesanan kes aktif dan 24 kes import. Sebanyak 73 kes di penjara turut dilaporkan.

Sebanyak 80 kematian direkodkan di mana 44 daripada jumlah yang meninggal dunia dilaporkan di Bangkok.

Bangkok turut mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,399 kes baharu diikuti Samut Sakhon 591, Samut Prakan 405, Chon Buri 399 dan Pathum Thani 397.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari enam negara iaitu 10 kes dari  Myanmar dan lima dari Kemboja, dan juga dari Jepun, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu dan Malaysia.

Kes sembuh pula adalah 251,658 termasuk 3,687 pesakit yang dilaporkan sembuh hari ini manakala 90,578 sedang mendapatkan rawatan.

Bermula hari ini, Thailand mengenakan langkah pencegahan lebih ketat, termasuk perintah berkurung dari pukul 9 malam hingga 4 pagi, menutup pusat beli-belah dan berkumpul tidak melebihi lima orang.

Peraturan itu melibatkan Bangkok dan sembilan wilayah lain iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Nonthaburi, Pathum Thani, Nakhon Pathom, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Songkla.

Related posts

Leave a Comment