MKN bincang faedah lengkap 2 dos

KOTA TINGGI 10 Julai – Cadangan garis panduan mengenai apa boleh dilakukan oleh penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 akan dibentangkan kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata beliau dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, sudah diberi taklimat oleh pakar kesihatan awam negara, dalam pengendalian serta faedah vaksin ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKAV), dua hari lalu.

“Kita ada maklumat awal dengan merujuk beberapa negara ‘best practise’ dalam pengurusan Covid-19 termasuk faedah vaksin seperti yang dilakukan Amerika Syarikat (AS)

“Di AS contohnya, mereka sudah mula memberi beberapa faedah kepada penerima vaksin berikutan sudah merekodkan lebih 30 peratus penduduk negara itu yang sudah lengkap dua dos.

“Malaysia juga akan beri sedikit kelonggaran pada penerima vaksin sudah lengkap dua dos. Namun kita akan minta pakar kesihatan awam untuk beri pandangan, cadangan dan bentangkan dalam Sidang Khas MKN untuk dijadikan rujukan sebelum keputusan mengenainya dibuat,” katanya.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 bulan hadapan, bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment