India lulus pakej AS$3 bilion

NEW DELHI: Mesyuarat pertama Perdana Menteri Narendra Modi dengan barisan Kabinet baharu meluluskan pakej rancangan kecemasan baharu bernilai lebih AS$3 bilion (RM12.56 bilion) untuk menangani pandemik Covid-19.

Mesyuarat itu meluluskan skim baharu ‘Pakej Kecemasan dan Kesiapsiagaan Sistem Kesihatan India Covid-19: Fasa-II’ berjumlah INR 23,123 juta untuk tempoh 2021-22.

Skim ini bertujuan meningkatkan sistem kesiapsiagaan kesihatan agar lebih pantas bertindak terhadap langkah pencegahan awal, pengesanan dan pengurusan, serta memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk Rawatan Pediatrik.

Daripada sejumlah AS$3 bilion yang diumumkan, lebih AS$2 bilion diperuntukkan bagi kegunaan pusat dan selebihnya disalurkan kepada negeri.

Pada Mac 2020, ketika gelombang pertama pandemik, kerajaan mengumumkan pakej bantuan pertama bernilai INR 15,000 juta (AS$ 2 bilion).

Barisan Kabinet baharu itu menyaksikan Mansukh Mandaviya mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga.

Bekas Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan dan timbalannya, Ashwini Chaube digugurkan dalam senarai Kabinet baharu.

Sejak pertengahan Februari tahun ini, India dilanda gelombang kedua wabak yang kini kian menular ke kawasan luar bandar, bandar dan pedalaman.

Related posts

Leave a Comment