Apa kesudahannya jawatan PM?

BERAKHIRKAH suasana ‘bercelaru’ dalam kerajaan apabila UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin?

Jika dibaca kenyataan yang dikeluarkan yang khabarnya masih banyak yang belum jelas, UMNO hanya menarik balik sokongan terhadap individu bukannya parti atau Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN masih wujud tetapi tidak pasti sampai bila. UMNO hanya meminta Muhyiddin meletak jawatan tetapi tidak menyatakan dengan jelas apa pula status atau kedudukan menteri-menteri dalam kalangan UMNO.

Keadaan mungkin lebih jelas apabila persidangan Dewan Rakyat berlangsung sama ada ketika itu Muhyiddin masih sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya.

Kembali kepada keputusan UMNO, jika UMNO menarik balik sokongan kepada PN atau sebaliknya, maknanya terjejaslah beberapa kerajaan negeri seperti di Perak, Melaka dan Johor yang diterajui UMNO.

Hakikatnya dalam pentadbiran PN hari ini, UMNO, Bersatu serta Pas saling bergantung antara satu sama lain. Masing-masing ‘menagih’ nyawa politik.

Jangan ingat UMNO sahaja pandai ‘memberontak’. Bersatu juga ada maruah sendiri apabila Presiden parti mereka diminta meletak jawatan dengan alasan “KEGAGALAN’ kerajaan PN yang di dalamnya juga ada pemimpin UMNO.

Apa terjadi sekiranya Bersatu juga buat hal? Terbubar kerajaan PN. Jajaran apa pula yang akan terjadi?

Belum pasti apabila Muhyiddin meletak jawatan dan pemimpin UMNO yang mengisi kekosongan itu, keadaan akan lebih selamat. Lainlah jika UMNO mempunyai matematik mereka sendiri bahawa kedudukan UMNO benar-benar selamat.

Maknanya UMNO sudah boleh berdiri sendiri, tidak perlu melutut kepada Bersatu atau mana-mana parti politik lain. Lainlah jika Muhyiddin diganti dengan PM interim.

Bagi masyarakat, matematik mereka adalah rakyat akan bertambah tersepit jika situasi ini berterusan ketika pandemik, bak kata pepatah gajah sama gajah bergaduh pelanduk mati di tengah-tengah. Masyarakat lebih melihat ini isu politik.

Parti politik lain juga mempunyai agenda mereka. Kedudukan Pakatan Harapan (PH) nampak lebih selesa jika jumlah kerusi diambil kira iaitu 89 – DAP 42, PKR 36 dan Amanah 11. Ditambah dengan sekutunya, jumlah akan lebih besar.

UMNO pula mempunyai 38 kerusi, Bersatu 32 dan Pas 18. Maknanya jika Bersatu, UMNO dan Pas berpecah membawa haluan masing-masing, akhirnya PH yang akan ke hadapan.

Kesudahannya, andai tiada pelantikan Perdana Menteri interim, dan diserahkan kembali kepada parti politik, mungkin pada ketika itu, UMNO akhirnya terpaksa ‘menerima’ Anwar sebagai Perdana Menteri ‘pintu hadapan’.

Jika itu berlaku, secara tidak langsung, UMNO membuka laluan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri, walaupun perkara 10 kenyataan MKT semalam menegaskan “tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government),”.

Semoga tidak terjadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Related posts

Leave a Comment