Sydney berkurung sehingga 16 Julai

SYDNEY 7 Julai – Sekatan pergerakan atau lockdown di Sydney selama dua minggu yang dijadualkan berakhir pada Jumaat ini (9Julai) dilanjutkan lagi sehingga 16 Julai,

dalam usaha membendung penularan virus varian Delta yang mudah berjangkit.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklia berkata, pelanjutan sekatan pergerakan itu merangkumi penutupan sekolah adalah peluang terbaik bagi memastikan ia dilaksana hingga sebahagian besar rakyat divaksinasi.

Bercakap pada satu sidang media di sini, beliau berkata, strain Delta adalah penentu keadaan, sangat mudah disebarkan dan mesti dihapuskan daripada masyarakat.

“Kami tidak mahu berada dalam keadaan berterusan beralih di antara sekatan pergerakan, tiada sekatan pergerakan, sekatan pergerakan, tiada sekatan pergerakan (lockdown, no lockdown, lockdown, no lockdown),” katanya.

Sydney yang dihuni lima juta penduduk kini sedang berdepan penularan terburuk setakat ini, dengan pengesanan 27 kes baharu hari ini dan jumlah kes keseluruhan menjangkaui 330 sejak kes pertama dikesan tiga minggu lalu.

Sebelum ini arahan duduk di rumah sudah dikuatkuasakan di bandar terbesar di negara itu, selama dua minggu mulai 26 Jun kerana pihak berkuasa berusaha mengekang penularan ancaman varian Delta.

Langkah-langkah sekatan sedia ada, termasuk wajib memakai pelitup dalam bangunan dan pengangkutan awam dan sekolah-sekolah di Sydney akan beralih ke aturan pembelajaran dari rumah apabila cuti musim sejuk berakhir,.

Para pegawai berkata perintah berkurung itu berkesan kerana sekatan lebih ketat itu mengehadkan jumlah kes harian kepada puluhan berbanding ratusan. Namun, pihak berkuasa cemas kerana varian Delta semakin menular di negara itu, yang mana program vaksinasinya agak lembab.

Perintah berkurung, pengesanan kontak secara pantas dan pematuhan tinggi terhadap langkah jarak selamat dalam masyarakat membantu Australia membendung penularan sebelum ini dan memastikan jumlah kes Covid-19 di negara itu rendah, dengan hanya 30,800 kes dan 910 kematian secara keseluruhan.

Related posts

Leave a Comment