Singapura benarkan 5 orang satu meja

SINGAPURA 7 Julai – Lima orang boleh duduk makan semeja mulai 12 Julai ini. Jumlah itu sama dengan had lima orang bagi perhimpunan sosial yang dibenarkan oleh pemerintah Singapura sekarang.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), perhimpunan sosial di tempat kerja juga boleh disambung semula dengan had sehingga lima orang setiap kumpulan walaupun bekerja dari rumah kekal sebagai pilihan.

Kelonggaran itu dibuat selepas jumlah kes baru Covid-19 dalam masyarakat merosot kepada 28 pada minggu sehingga 5 Julai berbanding 86 pada minggu sebelumnya.

Menurut data MOH, jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga jatuh kepada 4 daripada 14 pada minggu lalu.

Pada 21 Jun, duduk makan di cawangan serta restoran makanan dan minuman (F&B) dibenarkan semula bagi kumpulan sehingga dua orang.

Mengikut perancangan awal lima orang tetapi berlaku lonjakan dalam kes tanpa hubung kait serta kelompok baharu Covid-19 pada awal Jun.

Menurut MoH, duduk makan di luar masih satu kegiatan berisiko tinggi kerana ramai orang tidak memakai pelitup dan berada dalam jarak dekat.

Acara hiburan seperti siaran langsung atau rakaman muzik dan video mahupun rancangan di televisyen akan tetap dilarang bagi “mengurangkan penghembusan titisan” daripada individu yang bercakap kuat sepanjang acara hiburan berlangsung, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Di tempat kerja, majikan harus terus melaksanakan waktu masuk kerja berbeza dan waktu kerja yang fleksibel bagi mengurangkan interaksi dalam tempat kerja serta semasa berada dalam pengangkutan awam.

Selain daripada kelonggaran pada sekatan makan di luar, majlis perkahwinan juga boleh disambung semula dari 12 Julai dengan jumlah hadirin tidak melebihi 250 orang jika ujian pra-acara dilaksanakan.

Bagi majlis perkahwinan dengan sehingga 50 tetamu, hanya pihak pengantin perlu menjalani ujian pra-acara.

Aktiviti sukan dan kegiatan bersenam berintensiti tinggi atau yang memerlukan pelitup ditanggalkan di dalam tempat tertutup, gim dan studio kecergasan boleh dilakukan dalam kumpulan sehingga lima orang.

Kelas-kelas sukan dan bersenam boleh diteruskan dalam kumpulan tidak melebihi lima orang, dalam kelas sehingga 50 orang termasuk jurulatih, atau mengikut had kapasiti tempat tersebut, bergantung kepada mana-mana yang lebih rendah.

Related posts

Leave a Comment