PdP di lima negeri kekal

PUTRAJAYA 4 Julai – Sesi pembelajaran bersemuka di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang hanya akan dilaksanakan selepas cuti pertengahan penggal persekolahan yang masing-masing bermula pada 16 Julai bagi Kumpulan A dan 17 Julai bagi Kumpulan B.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Takwim Persekolahan tahun 2021 adalah kekal seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin dalam sidang media pada 6 Jun lalu.

Sehingga tarikh itu, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri terbabit akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ia akan berlangsung sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lima negeri terbabit diumumkan memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke Fasa Kedua PPN dengan kelima-limanya mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Pemberitahuan lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri Kumpulan B akan dibuat KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula

Related posts

Leave a Comment