Tiga lagi lokaliti kena PKPD

KUALA LUMPUR 4 Julai – Kerajaan hari ini mengumumkan tiga lokaliti baharu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), penamatan di 12 lokaliti dan dua lagi dilanjutkan pelaksanaannya.

Lokaliti baharu adalah Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi (bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai, Kelantan, Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan, Tawau, Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh penguatkuasaan adalah bermula 6 sehingga 19 Julai.

PKPD yang ditamatkan adalah kawasan di Mukim Tenglu, Mersing, Johor iaitu Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

Sementara lima lokaliti di Taman Perumahan di Mentakab, Pahang ialah Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.

Selain dari itu, penamatan di Ladang Brumas, Kalabakan, Kampung Pulutan, Nabawan, dam Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Sabah.

Dua lagi lokaliti yang dilanjutkan PKPD bermula 6 sehingga 19 Julai 2021 pula adalah di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau, Sabah.

Sementara itu jelas Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, empat kilang dan 20 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

Related posts

Leave a Comment