6,658 kes baharu 107 kematian

PUTRAJAYA 3 Julai – Sebanyak 6,658 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 772,607 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, daripada 6,658 kes berkenaan, sebanyak 6,647 kes membabitkan jangkitan tempatan sementara  66,958 kes masih aktif.

Sebanyak 892 pesakit menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 443 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Di samping itu sebanyak 107 kes kematian membabitkan Covid-19 hari ini direkodkan menjadikan jumlah kes kematian keseluruhan setakat ini adalah 5,434 atau 0.70 peratus.

Selangor merekodkan 51 kes kematian, 21 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 kes di Negeri Sembilan, enam di Johor, masing-masing lima di Kedah dan Pahang, empat di Melaka, serta masing-masing satu di Sabah, Sarawak, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 5,677 pesakit sembuh sepenuhnya juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih dan dibenarkan pulang adalah 700,215 atau 90.63 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, sebanyak 19 kluster jangkitan Covid-19 dikesan hari ini, dengan 16 daripadanya adalah di tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu di pusat tahanan.

Dua kluster komuniti dikesan membabitkan aktiviti ziarah iaitu Kluster Dah Mata Ayer di Langkawi, Kedah dan Kluster Kampung Jaya Setia Badang di Kota Bharu, Kelantan.

Kluster Dah Mata Ayer dengan kes indeks seorang wanita tempatan berusia 44 tahun yang dilaporkan positif pada 26 Jun lalu hasil saringan bergejala, kini sudah menjangkiti 25 individu.

Bagi Kluster Kampung Jaya Setia Badang pula, kes indeks adalah seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang juga dilaporkan positif pada 26 Jun lalu dan sehingga hari ini, kluster itu sudah menjangkiti seramai 13 individu.

Sehingga kini, sebanyak 2,901 kluster jangkitan Covid-19 dilaporkan di negara ini, dengan 2,030 daripadanya sudah ditamatkan dan 871 lagi masih aktif.

Related posts

Leave a Comment