Thailand saring pelawat dari Afrika

BANGKOK 26 Okt. – Thailand meningkatkan saringan ke atas pelawat yang tiba dari negara-negara Afrika, terutama Uganda, di Lapangan Terbang Suvarnabhumi berikutan penularan wabak Ebola.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Tares Krassanairawiwong, berkata, saringan ke atas penumpang merupakan langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan penyakit itu.

Dalam satu kenyataan semalam,  beliau berkata, pelawat dari negara-negara Afrika dalam tempoh 21 hari lalu, dikehendaki menjalani saringan dan mendaftar diri ketika tiba di lapangan terbang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempoh inkubasi iaitu bermula jangkitan virus sehingga muncul gejala adalah mulai hari kedua hingga 21 hari. Seseorang yang dijangkiti Ebola tidak menyebarkan penyakit itu sehinggalah mereka bergejala.

Ebola merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti, selain permukaan dan bahan yang tercemar. Antara gejala penyakit itu ialah demam, muntah, cirit-birit, sakit otot serta pendarahan dalaman dan luaran.

Setakat Isnin, Kementerian Kesihatan Uganda menyatakan secara keseluruhannya terdapat 90 kes yang disahkan, dengan 28 kematian.

Related posts

Leave a Comment