Tempoh masa dos kedua AZ disingkatkan

PUTRAJAYA 1 Julai – Tempoh masa bagi dos kedua membabitkan kira-kira sejuta penerima vaksin AstraZeneca di negara ini akan dipendekkan daripada 12 minggu ke sembilan minggu berikutan ketibaan satu juta dos vaksin sumbangan Kerajaan Jepun, hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata penerima vaksin berkenaan pada Mei lalu akan mula mendapat notifikasi untuk dos kedua dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) minggu lalu.

Sebanyak sejuta dos vaksin AstraZeneca tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini dengan menggunakan penerbangan Japan Airlines 723 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 10.20 pagi .

Khairy berkata, vaksin berkenaan akan dibawa ke pusat penyimpanan sebelum ia segera diedarkan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan dapat menyelesaikan pemberian vaksin kepada warga emas pada bulan ini.

Related posts

Leave a Comment