Satu dos layak hadir acara tertentu

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Julai – Hanya jemputan dan orang-ramai yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 akan dibenarkan hadir ke beberapa acara keberangkatan sempena Hari Keputeraan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara-acara tersebut seperti Istiadat Perbarisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Istiadat Menerima Bintang Kebesaran di Istana Nurul Iman dan Majlis Bersama Rakyat di keempat-empat daerah.

Menurut Kementerian Kesihatan walaupun Brunei Darussalam sudah tidak lagi mencatatkan kes Covid-19 tempatan semenjak 6 Mei 2020, langkah-langkah pencegahan dan pengawalan perlu bagi mengurangkan risiko.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Maswadi Mohsin pada sidang media semalam berkata, petugas-petugas akan memeriksa status vaksinasi orang-orang yang hadir melalui aplikasi BruHealth di telefon bimbit masing-masing atau buku vaksinasi yang diberikan semasa mendapatkan suntikan.

“Mereka yang kurang sihat dan mempunyai tanda-tanya penyakit seperti demam, sesak nafas, batuk-batuk, selesema, muntah-muntah, cirit-birit dan sebagainya adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke acara-acara dan tempat-tempat perayaan.

“Penggunaan sungkup muka adalah digalakkan bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan yang teruk seperti warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

“Orang ramai juga adalah tidak digalakkan untuk pergi ke tempat-tempat yang sesak dan orang ramai yang hadir ke acara-acara perayaan seperti gerai-gerai perayaan adalah dimestikan untuk mengimbas Kod QR di tempat-tempat yang telah disediakan,” katanya seperti dilaporkan Pelita Brunei.

Beliau juga mengingatkan agar pengendali makan di gerai-gerai perayaan dan juga orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan alam sekitar seperti mengamalkan kebersihan tangan dan menjaga kebersihan di tempat-tempat perayaan.

Pengendali-pengendali makanan tegasnya adalah juga dikehendaki untuk memakai sungkup muka semasa penyediaan dan penghidangan makanan.

Related posts

Leave a Comment